"Ibu, nishak nak pinjam henpon jap."
"Nak tepon siapa?"
"Alaaa ... nak tepon kawan nishak la, Syamin."
Aku hulurkan telefon bimbit. Nisaa' sambut dan terus membuka 'flip' telefon berkenaan. Dia membuat aksi sedang mendail dan membetulkan jurai rambut yang hampir menutup mukanya. Wajahnya serius. Dia berjalan ke arah tingkap. Telefon sudah ditekap ke telinga kanan. Kepalanya sedikit teleng. Dia serius.
"Haaa .. hello Syamin. Assalamualaikum .. Waalaikumshalam. Awak kat mana ni?"
Aku hanya membuka telinga. Jika aku pandang dan perhatikan gelagatnya, pasti dia akan marah dan terus berhenti bercakap.
"Kita dekat rumah ibu kita la. Alaa .. kita tengah tengok tv. Awak buat apa?"
Nisaa' diam sejenak. Wajahnya sedikit berkerut sambil "mendengar" apa yang diperkatakan oleh 'kawan'nya disebelah sana.
"Awak pergi kedai tadi yek? Awak beli suwit tak? Kita ada beli loripop. Shedappp. Awak dah makan ke?"
"Awak tak pegi taman ke? Ooooo ... eshok ibu kita teje. Kita kena pegi shekolah. Ha ah ... kita tak shuka tapi kita tak buleh ikut ibu kita pegi teje."
Sesekali rambut yang terjuntai didahi diselanya ke belakang. Dari duduk di sofa, Nisaa' sudah berjalan ke hulu dan ke hilir. Serius.
"Oooo ... oklah Syamin. Kita nak tengok Upin Ipin. Baiiii!"
"Dah habis cakap?"
"Dah. Syamin tu nak pegi taman .."
Nisaa' pulangkan telefon bimbit kepadaku. Mukanya selamba.
Itulah bicara Nisaa' 2 hingga 3 kali sehari dengan rakannya Syamin. Pagi sekali. Tengahari sekali. Malam sekali. Nisaa' kata Syamin budak lelaki kecik kenot je.
Syamin tu 'imaginary' friend Nisaa'. Cara dia bercakap dengan 'kawan'nya itu memang cukup meyakinkan yang dia benar-benar sedang berbicara dengan seseorang yang ujud. Nisaa' yang pertama ada 'imaginary' friend. Tiga yang atas tiada pula.
Memang seronok dengar dia bersembang dengan Syamin. Macam-macam yang dibualkan. Tapi yang pasti, perkara yang tak pernah tidak disebut ialah tentang gula-gula dan aiskrim dan setiap kali aku tanya Syamin dah makan ke belum, pasti Nisaa' akan kata Syamin dah makan. Setiap kali itu juga, juadah yang dimakan Syamin adalah Nasi Goreng Kicap.
Itu Nisaa'. Ali lain pula. Sebutir dua patah perkataan sudah pandai disebut. Seperti anak-anak yang terdahulu, perkataan pertama Ali bukan 'ibu'. Memang susah hendak disebut perkataan 'ibu' itu. Jika Irfan, Zinnirah, Syabil dan Nisaa' mula berkata 'ayah', kata pertama Ali adalah 'kakak'. Sebutan yang sempurna dan diulang-ulang dengan pelbagai intonasi. Nampak sahaja Nisaa', terus laju 'kakak, kakak, kakak'.
Kalau aku memasak di dapur, dia juga akan ke dapur untuk menyelongkar laci. Aku rasa sebulan dua dari sekarang aku terpaksa beli beberapa dozen sudu dan garfu lagi sebab banyak sudu dan garfu aku sudah hilang atau bengkok dikerjakan Ali. Tiga batang sudip sudah arwah, dua batang senduk juga sudah sudah tercabut hulunya. Bekas plastik pula, ada yang masih ada penutup tapi banyak yang sudah hilang penutupnya atau sudah pecah.
Kalau aku berdiri memasak, posisiku adalah didepan laci-laci. Maknanya sudah menghalang lubuk harta karunnya. "Titiiiii ... titiiiii." Mulanya aku tidak faham. Lama-lama aku faham. Sambil menolak aku sekuat hatinya, Ali ulang, "Titiiii ... titiiii ... titiiiii!" Suruh aku ke tepi, jauh dari laci rupanya.
Itulah perkembangan Ali sedikit sebanyak. Lusa dia genap setahun 5 bulan. Mulutnya masih berat, tapi sudah faham banyak benda. Bila disuruh mandi, laju minta dibukakan baju dan seluar. Sudah pandai letak botol susu di sinki lepas habis minum. Diaper yang kotor dan dibungkus padat, diambil dan dibuangnya ke dalam tong sampah di dapur. Baju kotor pandai dikutip dari lantai dan diletak ke dalam bakul kain. Sudah pandai mengejut aku bangun dari tidur. Ditepuk-tepuk badan aku berulang kali sehingga aku bangun. Sudah tahu juga minta nasi. Dia ke dapur dan menangis sambil memandang periuk nasi.
Nisaa' pula semakin petah bercakap. Banyak sungguh dia bercakap. Banyak sungguh yang hendak dikomen. Banyak juga yang hendak ditanya.
Syabil pula makin yakin diri. Dia sudah rajin meminjam buku dari perpustakaan tiap kali aku bawa ke sana. Dua perkara sahaja yang tidak berubah. Mudah menangis dan sangat-sangat-sangat-sangat hyper. Dalam perpustakaan pun dia boleh berlari sepenuh hatinya.
Zinnirah pula sudah pandai menyendiri dalam bilik terutama lepas ditegur kalau buat apa-apa kesilapan. Dia memang agak keras kepala sedikit. Perlu dipujuk selalu. Kenapalah aku jenis ibu yang tidak tahu memujuk?
Irfan pula makin obses dengan bola. Piala Dunia sudah dalam angannya. Piala Dunia pula tahun hadapan. Tahun hadapan Irfan menduduki UPSR. Aku pening!
Lima orang anak, lima tingkah, lima ragam, lima perangai. Kadang-kadang terasa macam tidak terlayan semuanya, tapi bila difikirkan semula ... 5 tahun sahaja lagi, rumah ini akan 'senyap'. Mungkin pada waktu itu aku bakal rindukan ragam mereka. Rindu mendengar setiap butir pertelingkahan mereka adik-beradik. Rindu mendengar celoteh Nisaa' yang begitu naif. Rindu pada bahasa unik Ali. Rindu pada Irfan. Rindu pada Zinnirah. Rindu pada Syabil, terutamanya.
..........................