Amanah yang dihampakan ...
Alhamdulillah. Minggu lalu, Irfan usai menjalani peperiksaan UPSR. Bagaimana agaknya prestasi dia? Tunggu sahajalah November nanti untuk keputusannya. Sekarang hanya mampu berdoa segalanya berjalan lancar.
Minggu ini bermula pula peperiksaan PSRA. Semalam kertas Bahasa Arab, Imlak dan Khat. Hari ini Akhlak dan Sirah. Peperiksaan akan berjalan sehingga Selasa depan. Doa ibu sentiasa dengan Irfan.Tetapi ada pula perkara yang tidak menyenangkan terjadi rupa-rupanya. Jika tidak dibuka emel tadi, pasti tidak tahu langsung apa yang berlaku. Sungguh tidak disangka apabila amanah diperlakukan seleceh begitu.
Rupa-rupanya Ketua Guru Pengawas PSRA lantikan JAIS di sekolah Irfan tidak amanah dalam tugas semalam. Sampai lewat jadi murid-murid pun mula menjawab lewat TAPI tidak diberi masa tambahan seperti yang sepatutnya. Masa menjawab dicukai 15 ke 20 minit dengan sengaja! Harapnya hari ini tidak berlaku lagi atau guru itu akan diadukan pada JAIS!! Sangat tidak suka orang yang tidak amanah.
Sangat berani guru itu melekehkan amanah. Seakan yakin tidak perlu berjawab dengan sesiapa!
Geram sangat. Mentang-mentang budak-budak tidak pandai bersoal-jawab dan menuntut hak masa mereka. Sewenang-wenangnya mengabaikan amanah. Bukan itu sahaja. 5 minit sebelum habis waktu menjawab, dia mula bercerita mengenai dirinya. 5 minit terakhir yang penting! Masa itulah anak-anak hendak menyemak setiap jawapan mereka. Boleh pula dia berceloteh begitu. Sangat tidak puas hati dengan sikapnya. Adakah kerana ia hanya peperiksaan sijil agama dan tidak sepenting UPSR?
Alhamdulillah pihak PIBG dan sekolah sudah ambil tindakan susulan tapi masih berharap sangat hari ini tidak berulang.
Sangat berdukacita kerana seorang guru sekolah agama bersikap begitu. Kita mengajar anak-anak supaya amanah tetapi orang dewasa pula memberi contoh tidak baik. Sangat kesal! Sangat hampa!