AL-FATIHAH ...
"Saya bukan lawan semua dengan mufti, tetapi mufti (Dato' Ishak Baharom) yang semacam ini bukan mufti. Ulama', macam-macam ulama' ada. Kita pun tau. Ahmad Sabu pun ulama' jugak, Mustapha Ali ulamak." Takkan satu orang boleh mendakwa diri dia ulama dan kita mesti sembah dia- inilah waris nabi, bukan main senang. Masuk persatuan ulama' jadi waris nabi. Syed-syed pun tak pernah berkata macam itu, yang kata dia keturunan nabi, keturunan sahabat-sahabat nabi - pun dia tak kata macam itu. Ini mana-mana tempat membuat dakwaan bahawa 'ulama' adalah waris nabi'. Mudah nak jadi waris nabi. Tak payah sapa pilih." (Dr. Mahathir Mohamad, Majlis Tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997).
"Tapi Mufti Selangor (Dato' Ishak Baharom) raja pun nak suruh buang dia. Raja pun tak setuju dengan dia. I think you'd better take action. Call him up dan tell him that he has breached the government punya regulations that he must be terminated dan kita tak bagi tauliah pada dia. Walaupun dia bukan pegawai kerajaan, orang bersyarah berkenaan dengan agama tanpa tauliah, akan diambil tindakan."(Dr. Mahathir Mohamad, Majlis Tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997).
Hanya satu 'kesalahan' beliau. Mengharamkan pertandingan ratu cantik di Selangor Darul Ehsan. Fatwa beliau mengundang kemarahan. Tindakan jabatan agama ketika itu yang mendakwa di Mahkamah Syariah 3 perempuan Melayu yang beragama Islam seperti yang tercatat dengan jelas di kad pengenalan masing-masing rupanya mengundang kata nista dan senda. Marah sungguh memanda-memanda menteri ketika itu. Sekonyong-konyong dilihat amat wajar beliau 'dihukum' dengan setimpalnya. PECAT. Itu keputusan yang dikira paling tepat dan 'adil' untuk semua, terutama kepada 3 perempuan yang dikatakan telah dianiaya hanya kerana mereka ingin berkongsi dengan khalayak akan keindahan tubuh badan ciptaan Allah yang dipinjamkan kepada mereka.
Akhirnya, Sahibus Samahah Dato' Ishak Baharom, Mufti Selangor dilucutkan jawatan.
Hari ini, beberapa minit sebelum azan Asar berkumandang, tokoh ulamak hebat yang lemah lembut, jernih wajah itu dipanggil Allah untuk mengadapNya. Beliau telah kembali kepada Penciptanya, selepas koma di Hospital Sungai Buloh.
Sudah tentu, berita perginya beliau keRahmatullah tidak menjadi sesuatu yang diberi liputan meluas oleh media massa. Siapalah beliau jika dibandingkan dengan seorang diktator yang telah berkuasa selama lebih dari 20 tahun di negara jiran yang layak menerima liputan lebih dari 10 minit dan lebih 2 muka oleh semua media electronik dan cetak arus perdana. Mantan Mufti Selangor itu tiada apa-apa jika dibandingkan dengan seorang negarawan bernama Muhammad Suharto. Beliau hanyalah seorang hamba Allah yang telah berjuang ke jalan Allah demi menegakkan syariat dan hukum hakam agama yang dijulangnya hingga ke akhir hayat.
Biarpun beliau seorang ulama', beliau telah bertindak menyertai arena politik dengan satu tekad .. iaitu menyedarkan Melayu Islam dinegara ini yang Islam dan politik itu tidak boleh dibezakan. Beliau tahu, hanya dengan politik perubahan boleh dilakukan. Sesungguhnya makhluk Allah yang pendiam dan tenang ini tiada galang gantinya.
Sehingga kini, aku tertanya-tanya adakah 3 perempuan Melayu Islam itu : Fahyu Hanim Ahmad dari Alor Setar, Noni Mohamad dari George Town dan Sharina Shaari juga dari Alor Setar telah sedar dan sesal akan kesalahan mereka. Adakah mereka bersyukur kerana tindakan Allahyarham itu adalah untuk kebaikan mereka dunia akhirat?
Masih aku ingat ketika mereka ditangkap kerana menyertai pertandingan Miss Malaysia Petite 1997 yang diadakan di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa Subang Jaya 13 Jun 1997. Masa itu, aku agak baru juga bekerja dengan suratkhabar di bangunan biru di Jalan Riong itu. Aku tidak tidak terlibat dalam membuat laporan berita berkenaan 'kes' itu. Tapi agak kecoh jugalah penangan kisah berkenaan sehingga seorang Mufti telah dipecat.
Inilah antara ulasan pemimpin paling besar negara masa itu. Amat-amat menyedihkan ...
"Cara ini meninggalkan kesan buruk sampai ke bila-bila kepada pihak yang terlibat termasuk keluarga mereka. Orang-orang ini tidak faham apa yang dikehendaki oleh agama. Inilah masalahnya apabila kita memberi kuasa kepada orang-orang yang tidak tahu menggunakan kuasa".(Mahathir Mohamad, Utusan Malaysia, 19 Julai)
"Kita hormati Mufti pasal sesuatu peraturan yang dibuatnya, tetapi kalau Mufti mengambil tindakan tidak mengikut Islam, takkan kita tak boleh tegur. Ini pegawai yang dibayar gaji oleh kerajaan yang dengan mudah menuduh orang itu murtad dan orang ini murtad" (Mahathir Mohamad, 1997, mengulas kenyataan Dato' Ishak Baharom yang menyatakan mereka yang tidak setuju dengan fatwa larangan pembabitan gadis Islam dalam pertandingan ratu cantik boleh menjadi murtad)
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ