Alhamdulillah. Hari ini genap 9 hari usia putera kami sekeluarga. Dimahkotai dengan nama Ali Qa'id. Harapan ibu dan ayah, moga Ali menjadi pemimpin pabila dewasa kelak, seperti Saidina Ali r.a - Sahabat, sepupu dan juga menantu Rasulullah s.a.w. InsyaAllah.
Ali lahir jam 10.25 pagi pada 28 Muharram 1429. Sakit bermula sebaik sahaja azan Subuh berkumandang. Kerana masih tidak merasakan perlu untuk bergegas, aku sempat lagi menunaikan tanggungjawab padaNya terlebih dahulu. Kemudian, aku khabarkan pada suami yang perut sudah mula terasa sakit walaupun turutannya tidak kerap dan sakitnya tidak begitu kuat. Aku minta dia kejutkan anak-anak dan persiapkan apa yang perlu. Pada anak-anak kami tidak memberitahu apa-apa kerana tidak mahu mereka terlalu teruja. Betapa kelam-kabutnya Irfan, Zinnirah dan Syabil semasa aku mahu melahirkan Nisaa' Az-Zahraa. Suami menyiapkan sarapan untuk anak-anak sementara aku menghitung kekerapan sakit.
Ketika kesakitan sudah kurang dari 5 minit setiap kalinya, kami pun bergegas ke hospital. Jam ketika itu lebih kurang pukul 8.30 pagi. Setibanya di Hospital Serdang kira-kira 20 minit kemudian, aku terus masuk ke dewan bersalin selepas bersalaman dengan suami memohon ampun dan maaf serta minta dihalalkan makan minum dan segalanya. Maklumlah, banyak dosa juga aku ni ;) Pada anak-anak aku berpesan supaya dengar cakap ayah mereka dan jangan tinggal solat.
Kali ini juga aku tidak mengharapkan suami berada disisi disaat hendak melahirkan walaupun jururawat yang bertugas menawarkan untuk memanggil suamiku masuk. Dengan 4 orang anak yang perlu diawasi, mustahil untuk dia berada sama denganku. Aku tahu dia sentiasa mendoakan aku. Itu sudah lebih dari cukup bagiku.
Proses melahirkan kali ini tidak seperti yang sebelum-sebelumnya. Agak payah bagiku. 'Contraction' yang tidak panjang menyebabkan aku tidak boleh meneran bagi menolak keluar bayi dengan berkesan. Beberapa kali aku hampir pitam. Ada bulan bintang!! Susah untuk bernafas. Bukan asthma. Bukan darah tinggi. Rupanya tekanan darah rendah. Puncanya ... aku tidak menjamah apa-apa pun. Walau setitik air pun tidak ku hirup pagi sebelum ke hospital. Makanan yang terakhir yang aku makan adalah pada waktu sebelum maghrib malam sebelumnya. Memang perut benar-benar kosong. Sebab itu, aku tiada kudrat hingga hampir pitam.
Pabila jururawat mengatakan jantung bayi mula lemah kerana beberapa kali hampir keluar tapi 'disedut' kembali ke dalam kerana aku tidak berupaya meneran untuk menolaknya keluar, hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya aku. Jururawat terpaksa memasukkan air bagi membantu aku bertahan.
Alhamdulillah, setelah hampir 1 1/2 jam berusaha, Ali Qa'id lahir ke dunia. Tangisannya memenuhi ruang bilik bersalin. Syukur kepada Allah. Ali Qa'id ku dakap ke dada. Tangisannya terus reda. MasyaAllah, Maha Suci Allah. Sesungguhnya Kau Maha Besar. Maha Pencipta.
Setelah dibersihkan, Ali dikembalikan kepada aku untuk disusukan. Sejam yang pertama memang kritikal dalam penyusuan bagi menstimulasikan kelenjar susu dan membiasakan bayi dengan penyusuan. Ayahnya masuk untuk mengazankan. Sayu aku. Menitis air mata mendengar suara azan dan iqamah suami pada telinga Ali. Mata suami bergenang air mata tapi cuba disembunyikan.
"Terima Kasih." Sudah cukup menambah sayu dihati. Terasa amat dihargai, walaupun ucapan itu hanya 2 patah perkataan keluar dari mulutnya. He's a man with few words. Petang itu juga, Ali Qa'id pulang ke rumah. Irfan, Zinnirah, Syabil dan Nisaa' yang berkesempatan menatap wajah adik baru mereka di hospital kerana sudah tamat waktu melawat ketika aku dipindahkan ke wad, nyata begitu teruja. Ali dikerumi laksana sebutir gula.
Hari ini, di hari yang ke-9, Ali yang takut mandi dan suka berbedung itu sudah 7 kali dicucuk. Dicucuk untuk diambil darah. Tangan kanan, kiri. Tumit kanan, kiri. Semua sudah dinoda jarum. Seperti yang lain, Ali pun suka pada warna kuning. Naik turun angka billirubin dalam darahnya. Cukup merunsingkan aku. Cukup untuk membuatkan aku tidak betah untuk tidur sebab dia perlu disusui setiap 2 jam atau kurang. Kencing dan beraknya perlu dipantau. Sehari tidak berak akan menyebabkan kuningnya naik semula. Ali perlu selalu diusik dan dikejutkan dari tidur nyenyaknya. Terlalu sedap tidur tidak bagus untuknya. Dia perlu bangun dan cergas. Ada ketikanya aku akan biarkan dia menangis agak lama bagi membuatkan dia aktif. Macam bayi Jepun. Lagi kuat menangis lagi elok untuk bayi itu.
Hari Isnin perlu disusul lagi ke klinik untuk diambil darah. Begitulah rutin ibu setiap kali melahirkan. Cuma kali ini Ali masih tidak perlu dimasukkan ke wad untuk berjemur dibawah cahaya biru seperti Irfan, Zinnirah dan Nisaa'. Tidak perlu jadi Batman. Jadi aku perlu memastikan yang angka billirubinnya tidak mencecah tahap 18. Kurang dari 18, adalah angka selamat yang tidak memerlukan dia dimasukkan dalam wad.
InsyaAllah, lagi seminggu dua akan berkuranganlah kuningnya. Hatinya belum betul-betul matang untuk meneutralkan billirubin didalam darahnya. Semuanya berkaitan jaundice sudah ku selidik dan hafal dalam kepala ketika Muhammad Irfan lahir. Irfan istimewa kerana jaundicenya bertahan selama 2 bulan. Ketika doktor sudah berura-ura mahu menukar darah atau mengambil cecair dari belakangnya, seminggu kemudiannya kuning Irfan beransur turun dengan stabil hingga hilang sepenuhnya.
Kali ini dengan Ali, aku doakan jaundicenya tidak berlarutan begitu lama. Aku harap kurang dari sebulan. InsyaAllah.
Nota kecik-kenot:
Pa'chik, kingbinjai, wan, sangdiva, acciaccatura, So'od, hayad, zwitterion, azahygcomel, Rynn Cowbra, mudin001, blackpurple @ jowopinter, achik, Mak Su dan kemat.
Terima Kasih atas doa dan ucap selamat kalian. Terima Kasih sekali lagi :)