Wednesday, December 12, 2007

Heboh! ...

"Assalamualaikum Dato'. Diharap dato' sedang berehat dengan tenang di malam Ahad ini kerana sebagai penduduk, saya kesal dengan gangguan dari konsert di stadium malam ini. Saya menetap di Jalan Batu 3, berhampiran sekolah teknik. Bunyi dari konsert boleh didengar hingga ke dalam rumah walaupun semua tingkap dan pintu tertutup rapat. Amat menyedihkan kerajaan negeri membenarkan kacau ganggu sebegini atas nama 'hiburan' keluarga. Tahniah buat kerajaan negeri maju - Puan H*****a"

Itu isi kandungan sms yang aku kirimkan khas untuk Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Ramli Mahmud.

Mulanya nak berkirim sms terus pada Pak Menteri Besar tapi nombor handphone dia aku dah usirkan jauh-jauh dari memori sim card aku. Yang ada cuma nombor abang Ramli aku dengan Khairyn yang sorang ni. hehehhee

Begitulah ... Negari Maju ni sekarang dah semakin maju dan makmur dengan pelbagai hiburan untuk keluarga. Heboh dan kecoh. Sampaikan aku yang kat dalam bilik dengan tingkap tertutup rapat, boleh dengar biji butir lirik yang dinyanyikan si penyanyi kumpulan Slam tu. Belum lagi terasa gegaran dentuman sound system ... memang canggih la sampai aku rasa dinding rumah bergegar sama. Mula-mula aku ingatkan jiran sebelah pasang radio kuat-kuat. Tapi dah 3 tahun aku duduk sini, tak pernah sekali pun jiran aku yang bujang dan beragama Kristian tu membuat onar bising dan maksiat lain. Jadi, untuk kepastian aku tukar la siaran televisyen ke saluran yang dok taja bendalah heboh tu. SAH! memang ler si slam tu tengah nyanyi!

Jarak stadium shah alam dari rumah aku adalah dalam 6 kilometer. Bayangkan orang-orang yang duduk dekat dengan stadium. Kat TTDI, kat seksyen 13. Mesti lagi bingit. Kalau sampai ke rumah aku boleh dengar, kat Masjid Negeri pun mesti boleh dengar gak kan. Tapi, Ahad malam Isnin, mesti masjid tutup awal kot.

Aku sms suami cerita pasal kacau ganggu tu. Suami aku kata, kalau berlaku gempa betul pun depa yang gebang kat situ tak perasan sebab ingat gegar dari sound system. Aduhhh ....

Nota kecik-kenot:
Sampai sekarang abang Ramli tak balas sms tu. hehehhehehe

Friday, December 07, 2007

Peristiwa ...

Banyak peristiwa yang berlaku dalam negara sekarang ni. Yang paling hangat tentunya tentang Hindraf. Begitu hebatnya penangan Hindraff sampaikan semua media-media utama negara masih tidak habis modal memperkatakannya. Ramai yang mahu beri pandangan dan pendapat. Dan sudah tentu, kesemuanya menghentam kumpulan berkenaan.
Peribadinya, aku sendiri tidak setuju dengan dakwaan-dakwaan yang dibuat kumpulan tu walaupun sedikit sebanyak kebenaran dibeberapa sudut, cuma diperbesar-besarkan Hindraf untuk menarik perhatian, terutamanya perhatian masyarakat antarabangsa. Aku paling tidak setuju mereka mahukan sokongan India dan Britain. Jika mereka masih di India, aku pasti mereka tidak seadanya sekarang. Entah apa jadi mereka disana. Britain? Bukankah penjajah ini yang bawa mereka masuk Tanah Melayu untuk dijadikan buruh estet? Dasar pecah dan perintah penjajah inilah yang menyebabkan susur galur mereka di sini menjadi seperti adanya sekarang. Dan itulah dasar yang diwarisi pemerintah hari ini. Dasar yang terus-menerus dipertahankan. Dasar yang akhirnya memakan diri sendiri tapi masih lagi terlalu angkuh untuk mengakui kesilapan.

Dalam sibuk satu negara memperkatakan tentang Hindraf, aku rasa ramai yang pandang sebelah mata dan dengar sebelah telinga tentang apa yang berlaku di Bukit Tinggi dalam tempoh 2 minggu ini.
Masih aku teringat kata-kata ramai pembesar negara akan kemakmuran negara ini yang wajib disyukuri rakyat. Betapa negara ini tidak seperti negara jiran yang ditimpa pelbagai musibah banjir besar, gempa bumi, tsunami dan macam-macam lagi. Ketika itu, amat kedengaran angkuh serta riak sekali kata-kata mereka.
Bila banjir besar melanda negeri yang tidak pernah ditimpa musibah itu sebelum ini, terkedu seribu bahasa sampai terpaksa pergi makan nasi kandar di negara orang.
Baru-baru ini, Bukit Tinggi pula dilanda sesuatu yang tidak disangka akan terjadi walaupun tidak membawa maut pada penghuni atau kerugian pada harta benda. Dalam tempoh 2 minggu, 4 gempa melanda tanah tinggi berkenaan. Kesemua gempa dibawah 4 skala Ritcher. Siapa sangka? Siapa menduga gempa walau sekelumit pun akan terjadi di Tanah Malaya? Bukankah kita terletak di kawasan bukan berisiko gempa .. tidak seperti negara jiran Indonesia dan Filipina, mahupun Jepun.
Tapi sehingga hari ini tiada satu pun kedengaran kata-kata dari pembesar-pembesar negara mengenai perkara ini. Diam seribu bahasa. Hilang kata-kata.

Tanda amaran merah sudah dikeluarkan Jabatan Meteorologi tapi hanya diwar-warkan untuk 3 negeri pantai timur tapi tidak mengenai hakikat yang sebenar di Johor juga. Kenapa? Isu banjir pun ada pilih kasih.

RM650juta. Aduhhhhhh!!! Sakit hati mendengarnya. Tidakkah ada satu pun kumpulan yang mahu protes? Semua mahu mengiyakan sahaja? Atas dasar itu hak manusia yang satu itu dan tiada siapa pun yang berhak mempertikai? Derhaka nanti dikata?
AKU PROTES!!!
Manusia-manusia itu seronok menasihatkan rakyat bersatu padu mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum. Aku rasa rakyat tiada masalah setakat ini. Jika ada pun ketidakharmonian, selalunya berpunca dari orang-orang diatas sana.
Macamana rakyat nak harmoni kalau harga barang naik? Macamana nak makmur dan padu kalau ada dikalangan yang tidak cukup makan?
Cukuplah apa yang ada tu. Tidak perlulah nak dibina yang baru. Duit yang nak ditabur tu bukan duit kamu!!

Satu lagi. Samada ada yang perasan atau tidak, aku tidak pasti. Tapi yang pasti, aku tidak nampak ada usaha media untuk merungkai atau sekurang-kurang menyelidik dan bertanya lebih lanjut mengenai perkara yang satu ni.
REHDA (korang carilah nama penuhnya sendiri ek! hehehe) buat pengumuman beberapa minggu lalu yang harga rumah akan dinaikkan dari 10% hingga 15%. Alasannya, harga bahan binaan naik ... apatah lagi harga bahan bakar pun naik.
Aduhhhhh!!! Kenapa aku rasa alasan diaorang tak munasabah? Kenapa pulak diaorang pulak yang pandai-pandai buat pengumuman tu? Kenapa tidak kerajaan?
Setahu aku ada sesetengah bahan binaan ditentukan oleh kerajaan. Maknanya ada harga siling. Kalau harga dah ditetapkan macam harga ayam tu .. macamana depa boleh suka-suka naikkan harga rumah tanpa merujuk pada Kementerian yang berkenaan dulu.
Kalau harga ikan, ayam, sayur .. bolehlah pengguna pantau dan lapor pada pihak yang berwajib tapi ini harga bahan binaan... bukan semua tahu harga sebenar. Rasanya sudah tiba masanya pihak yang berkuasa bagitau pengguna harga bahan-bahan binaan ni. Mana yang ada harga siling dan yang mana tak ada harga siling. Kemudian, beri juga harga bahan yang sama di negara jiran supaya boleh dibuat perbandingan supaya pengguna boleh "justify" alasan REHDA nak naikkan harga rumah.
Pada aku, REHDA yang ahlinya merupakan tokeh-tokeh besar semacam nak duga kerajaan. Kalau tak benarkan naik harga rumah, depa akan buat dalih stok bahan binaan tak ada, jadi banyak projek mungkin tergendala. Padahal, kerajaan tengah nak bangunkan segala jenis 'kakilima' pembangunan yang memerlukan banyak bahan binaan. Kalau pembekal, pengeluar bahan binaan buat hal, macamana 'kakilima-kakilima' ni nak jalan .. jadi terpaksa ikut rentak tokeh-tokeh ni dan benarkan naik harga rumah. Yang jadi mangsa? KITA laaa .. siapa lagi!! Tapi takde satu akhbar pun yang korek pasal benda ni.

Lebih kurang 30% penuntut IPTA mempunyai kecenderungan melakukan rasuah. Itu hasil kajian yang dibuat BPR dan Kementerian Pengajian Tinggi. Huh!! Walaupun kalau dalam pilihanraya 30% tu kira tak boleh dan tidak akan menang, tapi dalam kajian macam ni, pada aku hasil amat memberi kesan. Macamana budak-budak ni sampai boleh nak fikir macam tu? Aku masa sekolah dulu tak terfikir pun. Maknanya budak-budak IPT 30% tu mesti buat kerja-kerja rasuah masa tengah sekolah. Rasuah kawan, rasuah pensyarah, rasuah pak guard etc ... seram memikirkan budak-budak ni la yang akan pimpin anak-anak aku. Diaorang jadi macam tu sebab penangan 'gelombang' puteri merah jambu dengan sidekick putera ke?

Yang terbaru. Jadinya semalam kat Parlimen. Bila Zam goblokkan orang, semua senyap. Bila Zam kena goblok, kecoh satu dewan suruh tarik balik. Memang BODOH GOBLOK!!!

Nota kecik-kenot:
Sesi luah perasaan di isen yang ke-100 .. hehehhehee

Monday, December 03, 2007

Manis .. Adehhh ...

Sejak dua menjak ni dok teringin makan benda manis-manis walaupun aku tau aku tak sepatutnya makan benda manis selalu. Maklumlah, dah masuk 7 bulan ... kencing manis mudah menyerang kalau tak berhati-hati. Dari minggu lepas aku dok berangan nak makan kek gula hangus. Aku reti buat tapi sangatlaaaa malas nak menggodek-godek dapur buat kek ni. Idak ler susah mana pun tapi bila dah malas tu .. biasalah macam-macam alasan la kan. Aku pun sms la kakak aku. Dia pandai gak ler buat kek gula hangus ni. Aku tau .. kalau aku mintak dia buatkan mesti dia kembang setaman sebab dia ni suka benor kalau orang suruh dia masak. Maknanya masakan dia tu sedap la. Maklumlah ... dia memang tak berapa nak pandai nak masak sejak zaman anak dara lagi. Tapi, kalau dah pompuan tu ... tetap pompuan la kan. Bila dah kawin, terpaksa memandaikan diri masuk dapur dan masak. Specialty dia masak taucu. Memang sedap.

Berbalik pada kek gula hangus tu. Aku sms dia mintak tolong buatkan kalau dia tak sibuk dan tak menyusahkan. Maklumlah ... dia dah beranak kecik. Idak ler aku macam nak desak sangat kan. Dia sms aku balik. Dia kata .. bila dah siap dia akan call aku suruh aku amik kat rumah dia. Dan nak dijadikan cerita .... sampai sekarang dia tak call. Adehhh ....
So sampai sekarang ler aku tak dapat kek gula hangus aku tu. Adehhhh sekali lagi.

Dua tiga hari lepas ... tengah malam dalam pukul 1 pagi. Tengah buat job freelance tu .. tetiba teringin nak makan bubur pulut hitam dengan ais krim cekelat. Aku sms ler suami aku. Dia kata malam takde. Kalau siang ada la kat satu restoran ni. Aku ok kan je. Bukan tak leh nak buat. Idak ler susah pun. Takat rebus pulut hitam, masuk santan ngan gula ... dah siap. Tapi sekali sekala tu apa salahnya mintak dicarikan .. iya dak?
Dan nak dijadikan cerita ... sampai sekarang aku tak dapat gak bubur pulut hitam aku tu. Restoran tu tak bukak bisnes gamaknya ... atau suami aku lupa .. dan aku seperti biasa malas nak mengingatkan ... macam hari jumaat hari tu ... malas nak ingatkan sesapa yang hari tu adalah harijadi aku .. errr yang keberapa ek? korang agak2 je la ek .. rasanya dalam 35 kot. Adehhhh lagi ...

Akhirnya ... aku makan roti sapu mentega dengan gula je la untuk langsaikan craving aku ni.

Lepas ni aku tak tau aku teringin apa pulak .. Entah dapat entah idak. Adehhh ....
Masa ni laaa aku nak mak aku. Adehhhh untuk sekian kalinya .....

Nota kecik-kenot:
Hmmm .. macam nak Coke bubuh bebanyak ais je ... hmmmmm ...

Thursday, November 15, 2007

Rahsia ...

Sebenarnya aku ni suka berahsia. Terutama tentang hal-hal peribadi. Hal-hal yang aku anggap milik aku seorang. Adakalanya sesetengah rahsia tu aku tidak suka berkongsi walaupun dengan orang paling rapat dengan aku i.e suami atau sahabat baik (khairyn, za).

Pendek kata, aku ni pandai simpan rahsia. hehehehe ... Orang takan tau rahsia orang lain dari aku. Walaupun orang kata wartawan ni kepoh dan tak pandai simpan rahsia, tapi aku ni pandai korek rahsia dan pandai pulak menyimpannya. Kalau rahsia orang aku boleh simpan, inikan pulak rahsia senditi. Lagilah aku pandai kambus ... baik punya kambus. I might be a serial-killer, you know! hahahhahahha

Pada aku, ada perkara yang bukan untuk dikongsi. Ada perkara yang hanya milik aku seorang. Sampaikan ada seorang teman merasa terpinggir semata-mata aku tidak pernah bercerita tentang siapa 'crush' terbesar aku masa sekolah kat atas bukit tu. Sampai sekarang aku tak bagitau dia walaupun selalu jugak dia mendesak. Pada aku, itu kisah silam. Tidak perlu diberitahu. Biar jadi rahsia sampai bila-bila.

Hari ini aku rasa aku nak berkongsi rahsia. Lama juga aku simpan rahsia ni. Berbulan-bulan. Hanya seketul dua manusia dalam dunia blog je yang tau pasal rahsia aku ni. hehehehhe

Mula-mula rasa macam tak nak bagitau. Tunggu bila dah 'jadi' baru nak war-warkan pada semua. Tapi, hati menggelitik pulak nak berkongsi. Apa orang kata .... berkongsi gembira dan duka.

Untuk pengetahuan semua, harta aku akan bertambah tidak lama lagi.

Ya. Harta dunia dan akhirat.

InsyaAllah, jika tiada aral melintang .... dipenghujung Januari atau awal Februari (minggu pertama), keluarga aku akan bertambah seorang lagi ahli.

Ya. Aku sekarang hamil. Habis November, genap 7 bulan kandungan ke-5 ni. Muhammad Irfan, Zinnirah, Syabil Iman dan Nisaa' Az-Zahraa bakal mendapat adik.

Doktor meramalkan 8 Februari. Tapi sejarah membuktikan zuriat-zuriat aku mahu melihat dunia lebih awal dari ramalan. Seminggu atau 2 minggu lebih awal.

Bin atau Binti tidaklah aku ketahui. Hanya Dia yang tahu. Jika yang dulu-dulu instict aku kuat, kali ini instict tu kurang melekat. Tak tau pulak kenapa. Mungkin belum sampai seru kot. Nama pun tak dipilih lagi. Nanti-nantilah ... yang penting selamat. Tentang nama ... aku, suami dan anak-anak ada 2 minggu selepas melahirkan untuk memilih yang sesuai.

Jadi ... ada lebih kurang 2 bulan lebih je lagi ya. hehehehhe ....

Nota kecik-kenot:
Pa'chik! Jangan harap aku nak bagi kat hang! hahhahahahaha :-P

Wednesday, October 31, 2007

Sapu Sawang ...

Lama sangat tak menyapu sawang kat rumah yang satu ni. Ikutkan malas nak mengemas tapi kesian pulak. Macam rumah tinggal. Nanti ada pulak yang buat rumah singgah. Langsuir, hantu raya, toyol dan yang sewaktu dengannya.

Puasa sudah. Alhamdulillah penuh sebulan.
Aidilfitri pun makin hampir ke penghujung.
Zulkaedah dah nak masuk.
Tak lama ... pejam celik dah nak masuk Zulhijjah. Beraya lagi ...

Tahun baru Masihi pun makin nak nampak ubun-ubun.

Sekejap benar masa berlalu. Orang dulu-dulu kata kalau masa tu makin pantas habis maknanya kiamat dah nak dekat. Betul gak tu. Maksiat dan fitnah pun makin bertambah ... sampai ke tahap orang dah tak peduli. Ramai yang dah tak kisah. Asalkan tak kacau gugat hidup depa dan keluarga depa.

Kes adik Nurin Jazlin dah makin orang lupa. Sekarang ni sibuk dok bincang pasal koridor itu koridor ini. Itulah yang panas sekarang. Bicara tentang 'kakilima'. Rupanya 'kakilima' pun boleh bawa untung. Aku? Masih macam dulu. Makin hari makin tertekan. Harga barang naik .. naik .. NAIK!!! Semuanya naik!!!

Dulu dapat la anak-anak makan peha ayam sorang satu. Sekarang? Satu peha, potong 2 atau 3 bergantung pada saiz peha la. Kepak ayam pun kerat dua. Kalau teringin nak makan kepak ayam panggang/salai yang banyak orang jual sekarang tu .. adehhhh harganya satu seringgit.

Rasanya tak payahlah nak membebel pasal isu harga barang ni. Seantero Malaya dah tau. Merungut banyak pun .. kerajaan kata depa tak boleh buat apa sangat. Semuanya terpulang kepada pengguna. Kalau mahal, tak payah beli!! Hatok dia!!!

Mungkin ramai (ada la kot .. kalau takde pun pedulik apa aku!! hahahahah) yang bertanya apa jadi kat aku sekarang.

Sesungguhnya aktiviti seharian bermula dengan bangun seawal 5.30 pagi menyiapkan hal berkaitan anak-anak yang nak ke sekolah. Lepas hantar anak-anak ke sekolah masing-masing .. aku akan balik .. sidai kain, masak, kemas rumah, bagi Nisaa' makan, main dengan Nisaa' ... TIDO!! hahahahhaha ... pastu petang keluar balik jemput anak-anak. Dan teruskan kerja-kerja yang lazim dibuat seorang ibu yang bekerja dirumah sampai lewat malam. Begitulah rutin hidup sehari-hari. Mungkin ada yang akan kata .. bosannya hidup .. tapi bagi aku, amat indah. Seronok tak terkata. Sampai terlupa langsung dunia internet dan blog. Sampai khairyn merungut aku jarang online. hehehhehe ...

Tapi bermula esok, aku akan memulakan kerja baru. Kerja part-time je. Dalam tempoh sebulan aku perlu menyelesaikan satu tugasan penulisan korporat berkaitan ekonomi dan industri pembinaan. Macam nak buat tesis. Dah lama tak menulis bidang akademia, terasa risau tak terbuat. Tapi, pulangannya agak lumayan .. insyaAllah.

Jadi perancangan nak mengikuti kursus terjemahan di Institut Terjemahan Negara di minggu kedua November terpaksa dibatalkan. Nampaknya terpaksa ambil yang bulan Mac tahun depan .. itupun jika masa dan kudrat diizinkan.

Itulah perkembangan buat seketika. Mungkin lepas ni ambil masa juga nak update blog ni. Mana tau, sementelah sibuk-sibuk nak siapkan tugasan depan komputer ... ada masa dan MINAT, aku update la apa yang terlintas di minda ni.


Nota kecik-kenot:
Korang tak rindu aku ke? hehehehhee

Sunday, September 09, 2007

Majlis ...

Surah Luqman ayat 5 - 6

Firman Allah yang bermaksud:

Dan ada di antara manusia: Orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.
Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seolah-olah ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.

Nota kecik-kenot:
Terpandang 2 foto Pak Lah ketika tilawah Al-Quran baru-baru ini. Satu tengah menguap, satu sedang duduk bersandar dengan muka yang amat membosankan dan mata hampir terlelap.
Teringat juga kala Pak Lah dan isteri barunya menyaksikan konsert di Seri Perdana, Putrajaya ketika berdiri meraikan lagu "Malaysiaku Gemilang". Gembira bertepuk tangan bersama-sama artis yang menyanyi, muka sungguh bersemangat.
2 majlis yang berbeza tapi waktu yang sama - MALAM.

Saturday, September 08, 2007

Puasa ...

9pm, Jumaat 7 hb September.

Zinnirah: Ibu, kakak dah nak tido.
Ibu: Ok. Macam biasa ... jangan lupa baca doa tidur, Al-fatihah, 3 Qul, syahadah, surah-surah hafazan sampai lelap, ya.
Zinnirah: Ok. Tapi ... esok ibu kejut kakak pukul 5 ya.
Ibu: Uikss. Ngapa awal? Belum masuk subuh pun.
Zinnirah: Kakak nak posa. Kakak ada tinggal sehari. Nak ganti.
Ibu: Ok. Tapi boleh ke tahan? Abang, adik tak puasa .. nanti kakak tak tahan.
Zinnirah: Boleh. Kakak tahan.

Ibu terjaga jam 6.30 pagi. Bagus kan? hehheheheh .. idak ler bersahur anak dara ibu. Bila ditanya nak teruskan puasa atau tidak, Zinnirah nekad nak teruskan.

10am, Sabtu 8 September

Zinnirah: Ibu. Kakak nak pergi library. Boleh tak?
Ibu: Boleh. Suruh abang, syabil siap-siap.

Aku hantar ke perpustakaan hipermedia MPSJ di Taipan. Lepas tu, aku dan Nisaa' pergi Mydin. SHOPPING!! hehehhehe
Beli ikan siakap 2 ekor. Itu je. Dah RM14.
Zinnirah suka ikan siakap bakar cicah sambal kicap.
Nak masak istimewa sikit sebab dia semangat sungguh berpuasa.

Jadi makan malam tadi agak 'extravaganza'.

Ikan siakap bakar cicah sambal kicap + cencalok.
Rendang ayam minang.
Sup bebola ayam dengan kentang + carrot.
Tumis bayam dengan sos tiram.

Zinnirah tambah 3 kali.

Hasilnya ... esok dia nak puasa lagi. Irfan pun sama. hehehhehehe

Nota kecik-kenot:
Aku bakar ikan balut guna daun bentuk hati yang besar. Daun dia tebal. Jadi bila bakar ikan, ayam ... air tak meleleh kuar macam kalau guna daun pisang. Selalu depa tanam sebagai landscape. Ada jenis besar, ada jenis kecik. Tumbuh rimbun jugak. Yang berdaun besar boleh naik tinggi. Senang amat nak jaga. Tak bersiram seminggu pun takpe. Sesapa yang pernah gi mydin usj, ada depa tanam sepanjang tepi entrance nak masuk parking tu. Tak berbunga.
Sebenarnya .. aku nak tau pokok tu pokok apa. hahahhaa ... blackie buleh tolong jawab kot. :-D