Apa punca ego manusia menjadi sebesar gunung?
Ya. Aku punya ego juga. Malah tidak aku pernah nafikan yang ego aku agak besar. Adakala ego ini buat aku bertindak ikut hati. Alhamdulillah. Setakat ini, ego yang bersarang dalam diri ini selalunya memuncak tika diri, orang-orang yang aku sayangi dan yang aku rasa perlukan perlindungan diperkotak-katik serta diganggu-gugat.
Namun, aku sebolehnya tidak mahu membiarkan ego mengawal tindak tanduk dan perasaan aku. Walaupun kekadang tergelungsur juga. Sememangnya syaitan itu sangat kuat menghasut. Alhamdulillah juga, aku dikelilingi orang tersayang dan sahabat-sahabat yang tidak serik membantu aku melegakan perasaan agar ego tidak memuncak.
Ego itu perlu untuk keyakinan diri. Agar tidak terasa diri lemah dan tidak mampu bersaing. Oleh itu, ego yang positif boleh melonjak prestasi diri. Boleh membawa kepada kejayaan .. InsyaAllah, dengan usaha yang kuat.
Ego yang tidak terkawal membawa kepada kesombongan. Kesombongan yang melampau. Kesombongan yang membawa kepada kebodohan. Kesombongan yang menyerlahkan ketidakmampuan untuk berfikir dengan rasional. Kesombongan yang meletakkan diri pada tahap yang paling rendah.
Aku kenal manusia "ABC" ini tidaklah lama. Pada mula aku kenal, aku yang tegur dahulu. Ya. Aku jarang menegur orang yang tidak dikenali. Tapi. Hari itu, aku rasakan aku perlu menegur dulu kerana kami berada didalam satu bilik yang sama menanti panggilan untuk di'interview'.
Mungkin "ABC" malu. Jadi dia tidak ramah. Muka tidak senyum. Mata tidak memandang. Tidak mengapa. Dia lelaki. Aku perempuan. Seorang perempuan yang tiba-tiba terlebih ramah. Jarang sekali aku begitu.
Ditakdirkan kami bekerja bersama. Selang beberapa minggu, jawatannya bertukar nama. Selalu juga kami bekerja bersama. Aku lihat, dia seorang yang rajin dan boleh mendengar arahan dengan baik. Malah, ada beberapa kali menawarkan diri untuk meneruskan tugasan di malam hari walaupun dia tidak perlu berbuat demikian. Aku maklum, dia bakal membina sebuah kehidupan baru. Jadi, tidak hairan dia bekerja keras.
Minggu jadi bulan. Sikap menjadi sedikit berubah. Terutama ketika pertama kali aku 'dipaksa' memberi arahan. Dia tidak dapat menerima arahan dari aku. Dia marah dan terus keluar pejabat, tidak puas hati. Tapi, selepas diberi penjelasan, akhirnya dia terima.
Bulan-bulan berikutnya, tiada masalah. Cuma dia sudah pandai memberi 'arahan-arahan' kecil. Dia juga sudah berasa lebih yakin dengan peranannya. Malah amat yakin.
Dipendekkan cerita. Masalah timbul. Dia enggan lagi terima sebarang arahan dari aku dan orang lain. Malah dipanggil tidak menyahut, malah tidak berhenti memandang. Tidak mengapa. Bukan masalah aku.
Sangat yakin dengan keselesaannya. Sikap sudah berubah. Tidak lagi serajin dulu. Pejabat dibuat seperti rumah.
Kemuncak kepada segalanya. Dia mengganas. Seorang pekerja wanita diganasi. Walaupun hanya luka sedikit tapi tidak boleh diterima akal seorang lelaki boleh berlaku ganas seorang wanita.
Dipendekkan cerita lagi. Tindakan yang diambil keatasnya hanya digantung tugas 5 hari. Gaji masih berjalan. Lebih kepada cuti pada pandangan aku. Cuti untuk berehat selepas melakukan keganasan. Kata maaf diucapkan, namun tidak ikhlas. Kata maaf hanya untuk menutup lubang kesalahan yang amat besar.
Sekembali dari cuti, kesal dan insaf rupanya tiada dalam kamus hidupnya. Ego semakin memuncak. Dirasakan diri kebal. Apa pun terjadi, tidak mungkin sesiapa boleh melemahkan 'kedudukan'nya. Acara perli-memerli menjadi agenda utama terhadap mangsa yang diganasi. Tidak merasa sedikit pun bersalah.
Aku tidak pasti. Apakah sumbangan 'pengganas' lebih dihargai dari sumbangan orang lain? 'Pengganas' lebih diperlukan. Mungkin.
Itulah ego.
Aku? Ego aku tetap begini. Biarpun ada yang mengatakan aku panas baran. Aku mengikut perasaan. Sekurang-kurangnya aku tidak merosakkan hidup orang lain. Aku tidak mengganasi orang lain. Aku tidak berpura-pura baik. Aku bukan talam dua muka. Aku adalah aku seadanya. Terima atau tidak? Terpulang.
Nota kecik-kenot:
Manusia apabila merasakan diri kebal, sanggup melakukan apa sahaja tanpa menghiraukan kepentingan orang lain. Aku kasihan pada orang begitu ... yang kurang akal ... dan pada orang yang membela ... kurang prihatin.