Saturday, September 13, 2008

Al-kisah 3 rakyat jelata dan ISA ...

Aku akan berbicara panjang kali ini. Boleh abaikan jika tidak mahu membaca kerana coretan ini bukan sekadar panjang namun mungkin agak beremosi. Tapi aku perlu luahkan.

I.S.A jahanam datang lagi. Seakan Dajjal.

Setakat ini belum ada rakan, teman, saudara atau keluarga terdekat yang dikenakan tindakan I.S.A. Satu akta yang pada pandangan aku amat primitif dan penuh ketidakadilan. Aku berdoa agar aku tidak perlu berdepan dengan penderitaan yang dihadapi keluarga-keluarga tahanan I.S.A yang terus dizalimi tanpa sebarang pembelaan. Aku teringat pada kak Laila dan anak-anaknya yang seperti dipinggirkan oleh kita. Kak Laila sentiasa ada dimana sahaja kempen Gerakan Mansuhkan ISA (GMA). Anak-anaknya yang comel mulus setia mengikut ibu mereka sehingga Kak Laila sering dikatakan menggunakan anak-anaknya untuk kepentingan peribadi dan politik. Sedangkan mereka hanya berjuang untuk mendapatkan semula suami dan ayah mereka yang diambil dari mereka dengan rakus. Mereka tidak mendapat pembelaan dari kerajaan mahupun kita sendiri sebagai masyarakat. Kita sendiri seolah menghukum waris-waris tahanan I.S.A dengan membiarkan mereka.

Si Anak Raja

Ya. Aku tidak pernah sokong kebanyakan tulisan Raja Petra. Pada aku dia hidup dalam dunia khayalannya sendiri. Dia suka berimaginasi. Dia suka bercerita. Imaginasi dan interpretasinya tentang sesuatu perkara adakalanya dangkal dan sengaja mahu menjolok rasa dan minda. Dia sering dilihat mempertikai sesuatu yang hak dalam Islam. Tentang wajib menutup aurat @ bertudung. Pada aku, apa yang ditulisnya itu tidak betul dan dia jelas seolah tidak faham kenapa seorang wanita Muslim perlu menutup aurat. Itu antara 'keluhan' si anak raja ini yang cuba 'dikongsi' dengan pembaca-pembaca setianya yang kebetulan juga 'jahil' dan punya mentaliti tertentu berhubung kait isu yang sama.

Jadi, pada pendapat aku, kita sebagai orang Islam yang tahu mengapa perlu menjelaskan kepadanya. Kalau tidak mahir berhujah sepertinya, cari orang yang mahir. Jelaskan. Mana pergi semua mufti yang bersungguh-sungguh bermesyuarat tentang sumpah laknat itu? Inikan kerja mereka. Menjelaskan apa yang tidak jelas walaupun isu itu sebenarnya sudah jelas. Apa? Sudah putus asa? Kalau dijelaskan pun tidak akan masuk kepala? Jadi apa gunanya jadi bijak pandai agama? Apa gunanya gelaran mufti dijaja?

Jangan kita sekadar mengutuk dan menghina pemahaman dengkelnya. Dah dia tidak jelas, jelaskan lah. Tapi, kita lebih suka mengutuk. Orang macam RPK yang banyak menggunakan kaedah logik akal dalam menentukan sesuatu tindakan dan pandangan tidak akan tunduk jika dikutuk. Lagi dikutuk tanpa diberi hujahan logik yang boleh menolak hujahannya, lagi keraslah hatinya. Lagi bertambah yakinlah dia dengan apa yang dia percaya.

Sekarang sudah 'dihukum' tanpa biacara pula. Sedangkan apa yang dipersoalkannya tidak seorang pun yang boleh menyangkal. Adakah anda rasa dia akan terus terima? Kemungkinan besar dia akan terus berpegang teguh dengan apa yang dia fikir betul selama ini. Siapa yang rugi? Fikirlah sendiri. Siapa yang mentertawakan kita? Faham-faham sendiri.

Jika benar apa dikatakannya salah ... buktikan padanya yang dia salah. Bawa dia kemuka pengadilan. Dapatkan peguam-peguam yang bijak pandai agama untuk menyanggah pendapat-pendapatnya dalam tulisan itu. Bukankah sudah ada bukti dia membuat kenyataan itu? Gunakan. Gunakan untuk 'menyedarkan'nya semula. Bukan kurung dia. Bukan layan dia macam budak nakal yang perlu dihukum dengan harapan akan sedar. Belum tentu akan jinak. Malah mungkin akan semakin keras dan liar.

Si Wartawan

Kemudian, seorang lagi ditahan. Juga menggunakan akta zalim ini. Seorang wartawan. Wartawan akhbar berbahasa Cina. Seorang wanita. Aku pernah bekerja sepertinya. Aku seorang wartawan. Selama hampir 10 tahun sebelum aku memilih untuk meninggalkan kerjaya yang sudah sebati dengan jiwa dan pemikiran aku itu. Aku sendiri seorang wanita.

Tan Hoon Cheng ditahan kerana melaporkan apa yang dia dengar di sebuah ceramah. Sebuah ceramah yang dianjurkan sebuah parti politik Melayu. Sebuah ceramah yang dikatakan penceramahnya dengan lantang berkata yang orang Cina itu 'setinggan'.

Secara jujurnya, aku sendiri benci dan mual pada orang Cina yang pentingkan kaum mereka semata-mata dan hanya mengejar kekayaan tanpa mempedulikan hak orang lain. Cina sebegitu memang tidak bagus. Tapi hanya segelintir yang begitu. Kebanyakan Cina yang aku kenal sangat baik dan bertolak ansur. Aku sendiri ramai rakan Cina yang baik. Malah mereka sendiri lebih memahami adat dan amalan aku sebagai seorang Muslim. Mereka tidak memomokkan amalanku. Mereka tidak makan atau minum dihadapan aku ketika aku berpuasa. Mereka sendiri mengingatkan aku tentang waktu solat jika aku terlupa. Mereka bertanya tentang amalan zakat dan kenapa perlunya amalan itu. Mereka kagum dengan kesanggupan umat Islam yang berhabis wang ringgit serta berpisah dengan keluarga semata-mata untuk ke tanah suci Mekah menunaikan rukun Islam yang ke-5.

Mungkin adakalanya mereka tidak faham kenapa wanita Muslim perlu menutup aurat. Perlu bertudung. Pada mereka tidak adil kerana dalam cuaca sepanas Malaysia, kenapa perlu 'berbungkus' seperti itu. Sedangkan ada lelaki Muslim bersahaja bercelana pendek, tidak berbaju. Tidak menutp aurat dan tidak menjaga mata. Belum lagi 23 umat lelaki yang majoriti Muslim yang berlari mengejar bola dalam gelanggang dalam satu-satu perlawanan bola sepak yang berseluar pendek. Tiada seorang mufti pun yang bersuara.

Aku boleh hadapi itu semua. Aku jelaskan dengan sebaik mungkin dengan harapan mereka faham akan tuntutan agamaku itu bukan untuk mereka yang tidak beragama Islam. Mahu faham atau tidak terpulang pada mereka asalkan mereka tidak memomok dan menghina. Apa sahaja ketidakpuasan mereka simpan sendiri sepertimana aku menyimpan segala ketidakpuasan dalam diri aku sendiri. Adil bukan?

Jadi, apabila wartawan itu ditahan kerana melaporkan kata-kata berbau penghinaan seperti itu, aku tidak faham. Kenapa orang yang menuturkan kata-kata itu tidak ditahan sama? Kenapa orang yang membenarkan berita itu disiarkan iaitu pihak pengarang di akhbar itu, tidak ditahan sama? Kenapa wartawan itu sahaja yang menerima hukuman? Sedangkan orang yang menjadi puncanya hanya dilucutkan jawatan dalam parti dan digantung keahlian?

Bila orang yang menjadi punca itu tidak diambil tindakan sekeras wartawan itu, jadi apa yang cuba dibuktikan? Orang dalam parti itu kebal sedangkan yang bukan dari parti itu boleh diperlakukan apa sahaja? Jahanam mereka! Semestinya mereka direjam dengan 1,000 biji batu besar!

Jika benar dia salah. Bicarakan dia. Negara ada pelbagai akta. Dakwa dia dimahkamah. Guna akta hasutan, akta fitnah. Akta apa pun. Bicarakan dia. Bukan tahan tanpa bicara.

Isu Cina pendatang dan setinggan ini membuatkan aku teringat pada Ati (akirasuri) dan juga bondanya. Apa agaknya perasaan bondamu Ati bila diperkatakan begitu? Bangsanya diperlekehkan sebegitu sekali? Seolah salah dilahirkan sebagai bangsa lain selain Melayu. Bukankah manusia itu Allah jadikan berbilang bangsa agar manusia belajar memahami dan berbaik-baik dengan bangsa selain dari bangsa mereka?

Dan sejauh mana pasti yang kita yang dicatatkan sebagai MELAYU dalam surat beranak dan kad pengenalan, adalah MELAYU sepenuhnya? Adakah kita 100% MELAYU?! Aku tidak. DNA aku pelbagai. Ada melayu, ada mamak, ada siam, ada minang dan entah apa lagi. Rupa aku sendiri bukan Melayu sepenuhnya. Malah sering disalah anggap sebagai Cina mualaf.

Anak-anak aku yang lima orang itu sepet-sepet belaka. Biarpun ada yang bulat matanya, tapi tiada kelopak mata. Sepet lah namanya. Setinggan pendatangkah mereka? Salah mereka ada mata sepet umpama Cina?

Si Wakil Rakyat

Satu lagi mangsa. Juga seorang Cina. Perempuan juga. Mulut agak laser. Belum berkahwin. Aku kenal agak lama. Banyak kali juga mengikut dia dalam tugasan. Membuat liputan mengenai apa sahaja isu yang dia kemukakan menuntut mereka yang sudah biasa dibelanja untuk bersedia untuk tidak dibelanja. hehehhehe ... aku suka. Tidak terasa 'terhutang'!

Tiba-tiba dia juga diI.S.Akan. Kononnya kerana isu azan. Dan mungkin juga kerana isu tulisan jawi. Aduhaiiiii ...

Isu azan telah dinafikannya. Aku harap dia benar.

Isu tulisan jawi dia tidak nafikan lagi. Dia harap dia benar. Dia ikut logik akalnya juga. Kalau padanya penyiaran gambar babi panggang togel hanya semata-mata untuk menunjukkan yang dia diraikan oleh kaumnya sendiri kerana menang pilihanraya, maka padanya ketiadaan tulisan jawi di papan tanda jalan di kawasan penduduk majoriti bukan Melayu yang buta jawi, bukan satu isu besar.

Tolonglah! Orang Melayu sendiri merangkak baca jawi. Macam aku! Al-Quran aku tahu baca sebab ada tanda atas, bawah, depan, mati, sabdu. Jawi mana ada tanda! Terhegeh-hegeh aku membaca. Selalunya minta tolong dari anak-anak yang sangat lancar membaca dan menulis dalam jawi. Kasihan anak-anak dapat ibu yang buta jawi.

Siapa yang cantas tulisan jawi kalau bukan orang Melayu sendiri? Siapa yang cantas bahasa Melayu dalam pendidikan berunsur 'teknologi' kalau bukan orang Melayu sendiri? Hanya kerana mahu Melayu tahu berbahasa Inggeris?

Tolonglah! Tolonglah! Tolonglah!

Aku sendiri belajar berbahasa Inggeris dan menulis Inggeris dengan membaca buku-buku cerita Inggeris. Novel-novel cinta picisan berbahasa Inggeris. Kartun-kartun berbahasa Inggeris. Tapi sekarang, kartun berbahasa Inggeris pun sudah ada sarikata bahasa Melayu. Nasib baik Sesame Street tiada bersarikata. Kalau ada ... punahlah semuanya!

Kalau zaman aku matapelajaran Ilmu Hisab dan Sains diajar dalam bahasa inggeris mahunya aku gagal selalu. Dalam diajar dalam bahasa ibunda aku pun aku hampir gagal kertas SPM matematik. Cukup makan. Kalau dalam bahasa inggeris, entah apa nasib aku agaknya.

Sistem pendidikan kita sendiri dah tunggang langgang. Sekolah agama mahu 'dijajah', ditekan hidup-hidup. Jika dulu orang bukan Melayu begitu handal membaca Utusan Melayu yang bertulisan jawi. Sekarang dengan keadaan dimana orang Melayu sendiri buta jawi, apa hendak disalahkan orang bukan melayu kerana memperkotak-katikkan tulisan zaman-berzaman itu?

Ya. Teresa ada salah disitu. Aku tidak mengatakan dia betul kerana membuang tulisan jawi dari papan tanda jalan itu. Setidaknya dia mengekalkan tulisan jawi sambil menambah tulisan lain seperti yang dia kehendaki. Itu silap dia.

Tapi dari kesilapan dia yang satu itu, membuatkan kita sedar yang bangsa kita sendiri lebih banyak silap dan dosa terhadap bangsa kita sendiri. Bila kita salah pada bangsa sendiri, secara tidak langsung kita salah pada agama kita sama. Sebab ramai juga yang berkata Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Tanyalah diri kita sendiri, sejauh mana kita mempertahankan Islam? Jika sekadar Melayu ingin dijunjung sedangkan Islam terperonyok seperti kain buruk, aku lebih rela Melayu itu tiada. Sungguh!

Dan jika dia juga salah. Bicarakan dia. Heret dia ke muka pengadilan. Sudah ada bukti kan? Nah! Gunakan segala bukti yang ada untuk menghentamnya. Bawa segala petisyen pasal azan yang dikatakan usahanya. Bawa segala papan tanda jalan yang dipertikaikannya. Bawa babi panggang togel sekalipun! Bawalah semuanya. Yang penting bicarakan dia.

Akan diI.S.Akan aku kerana semua ini?

12 comments:

Anonymous said...

I couldn't agree more. Well said.

(Cewah... speaking dong!)

Zuraini said...

Tulisan Jawi? Saya wpun belajar sampai Darjah Khas kat Sek Agama Jhr ni, saya sendiri tak mahir membacanya. Dan itu jugalah yang sering membuatkan saya berfikir, macam manalah saya boleh sampai ke Darjah Khas ye... Kitab2 yang ada tu saya baca hanya waktu kelas jer, kat rumah mcm mana saya letak masa balik dari kelas, mcm tu jugalah keadaannya bila saya nak ke kelas esoknya.

itu antara ulasan saya, yang selebihnya ada kat email, bila dah siap terasa lak panjangnya, dah mcm en3 sendiri lak...

khairyn said...

my sentiment exactly. Masa aku baca utusan online tu aku rasa macam tak percaya. Ini semua publisiti murahan atau benar?

Bukan ke sepatutnya syarikat persuratkhabaran yang patut diambil tindakan sekali? Semua mahukan kambing hitam. Cuci tangan.

Apa ada pada Melayu? Bumiputera? Golongan 'bumiputera' yg 'terpilih' saja yang ditolong. Ramai bumiputera macam kau dan aku yang terpinggir tanpa dapat duit kerajaan walaupun untuk belajar. Tolonglah!

Ameno sendiri yg selalu main perkauman dengan isu ketuanan melayu setiap tahun. Sepatutnya kalau nak guna akta ISA tu, dari PM sampai semua konco-konconya hantar ke kamunting tu.

Pa'chik said...

bagi aku, patut guna isasamad nih... senang sikit... tak yah nak abis duit wat piaryu... tak yah nak berkempen... main borong je...

kalau nampak cam ancaman je... amek je... letak kat lam... tak de dah nak ngacau...

kepada yang tak sokong isasamad tu.. buleh blah la... tak tau ke... kalau takde isasamad nih... susah sarkis nak buat persembahan silap mata....

sepupu aku penah diisasamad dulu...
jiran aku pun ada yang penah kena... depa ni kena masa geng sarkis gaduh ngan geng opera...

Pa'chik said...

oh... pasal sualan tentang gaki tuh...
aku suka baca tulisan ruhani...
keluarga makcik kailan dulu datang tahun berapa?
orang kerala tu dulu datang tahun berapa...
orang acheh yang itu.. bila datang sini?
orang keturunan arab tu.. bila datangnya??

izinni said...

mudin,
terima kasih :)

neen,
maaf tak sempat nak baca email lagi. insyaAllah nanti baca dan balas ya.
Itulah salah satu sebab saya hantar anak2 sekolah agama. biar tak jahil jawi macam ibu depa.
btw ... saya dah terima bungkusan 4.9kg tu. Terkejut juga pada mulanya masa van poslaju sampai. pastu kotaknya besar pulak. TERIMA KASIH BANYAK atas pemberian. Tak sangka. Buat susah2 je. Apa pun, ada yang dah berebut beg2 tu. hehhehe ... dan irfan sangat sangat suka serunding tu. dia makan dengan segala benda. nasi, mee, kebab, karipap etc. hehehhe

khairyn,
aku rasa kita sendiri dah selalu benar bincang pasal isu bangsa ni kan. dan aku rasa kalau ada orang lain yang tak faham dengar mesti ingat kita ni kutuk bangsa sendiri.
Aku sendiri sampai sekarang tak faham apsal dok junjung sangat bangsa ni. kalau elok ok la jugak .. ni layu je lebih.
khir toyo pulak makin menjadi. aku ada komen kat blog dia. DIA tak lepaskan komen aku tu. hahahhaa ... pengecut rupanya.

pastu aku heran dengan wartawan2 kat malaya ni. depa tak rasa apa ke bila wartawan sin chew tu kena tahan? hmmmm ... apa pun aku baik sangka. depa rasa ... depa pun sama bengang tapi apa yang depa boleh buat kan.

pastu .. si mangkuk syed hamid siap cakap kena siasat habih dulu sebelum decide nak ISA si ahmad ismail tu ke tidak. Mencarut aku dalam hati. kalau dah dihukum dek umno, maknanya dah sah salah la kan. nak siasat jadah apa lagi??!! baran sungguh aku. depa ni semua buat rakyat malaya kurang pahala posa je bulan ramadhan ni!

izinni said...

pa'chik,
aku tau ko marah. benda macam ni kalau tak jadi kat batang hidung sendiri memang tak rasa apa. siap ada yang boleh bagi justification yang negara lain kat dunia ni pun ada ISA gak. so patut pun kita pun ada! taik kucing sungguh!

si gaki tak masuk sini lagi kot. tu tak perasan tu. hehehehe ..
tu la .. majoriti manusia kat malaya ni semuanya bangsa pendatang. kenapa nak tumpu kat cina je? aku tak faham sungguh. lagi ler cina2 kat malaya ni naik daun ... nak tentang je kita sebab kita sendiri bengap tak sedar diri. patutnya guna cara betui la nak lembutkan depa .. ni tak .. lagi ditekan. sekarang baru padan muka. dok bagi muka sangat ... sekarang diri sendiri kena.

Anonymous said...

Haha! Baru on9! (Lepas dapat SMS kak Has) :D

Huhu.. Akan saya komeng berkenaan hal tu nanti.. Sekarang Sy ngantuksss :D

Huahuahua!

Anonymous said...

cheh! dok menjana air liur basi je. kalau air liur basi tu buleh meningkatkan tahap ekonomi negara takpe gak. hehhehe

Fida Ruzki said...

Nita, Saseme Street pun dah dialih bahasa la... cuba check kat astro.. erk ko tak astro kan, aku lupa la

aku rasa sedih, dan marah bila Hoon Cheng kena. she was my batch in USM, one of fav in kelas penulisan rencana.

what happened to her reflected to us all.....

aku paling marah orang politik yang suka menceceh tak keruan, cakap merapik2 lepas tu bila dilaporkan, bila dah semua orang meompat mcam kera kena belacan, dia retract and said I was misquoted or the media wrote something wrong (putar belit).....

I hate it la. Hamid Albar insulted me through and through that night

izinni said...

fida,

itulah nasib wartawan cabok macam kita. mungkin antara sedar dan tidak, benda2 macam ni la yang buat aku nekad tinggalkan journalism walaupun aku sayang sungguh kerjaya tu. sampai sekarang aku kalau nengok berita atau baca paper, aku akan tanya kenapa wartawan tak tanya itu tak tanya ini ... hmmm jawapan sebenarnya aku dah tahu ...

sampai bila wartawan yang Malaysia akan kena belenggu pun aku tak tau. dan sampai sekarang aku tertanya apa sebenarnya peranan NUJ.

'pendatang' hamid albar tu? rasa macam nak benjolkan je kepala botak dia tu kan. hehhehe

sabar banyak banyak fida ... hari ni hari depa .. mana tau esok lusa tulat hari hang pulak. kuatkan semangat, ok!

Awang Kata said...

Aku pernah menangis teresak-esak apabila dapat tahu Utusan Melayu Mingguan yang satu-satunya akhbar Melayu bertulisan jawi akan ditamatkan keluarannya kerana tiada sambutan pembaca. Inikan pula tulisan jawi yang ada sekelumit itu pun nak dihapuskan. Mahu rasanya aku hapuskan saja mereka itu...