Monday, September 15, 2008

Gara-gara 916, TGNA & MA krisis?...

RAKYAT TERENGGANU SALAH PILIH PESURUHJAYA

1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskanoleh Muktamar secara “standing ovation”.

3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Bertarikh : 11 Ramadhan 1429 (11 September 2008).


Nota kecik-kenot:
Apa agaknya pandangan Haji Hadi bila orang kanannya di negeri kena hentam macam ni? hmmmm ... menarik. buat aku tertunggu2 reaksi semua pihak dalam PAS. Mesti ada sebab tok guru sampai menegur begitu keras begini. hmmmm ... apa agaknya fikiran cikgu Pa sekarang.

** artikel asal telah dinyahkan atas arahan pihak 'atasan'. Yang ini disalin tampal dari blog tok mudin. buat simpanan untuk dibaca anak cucu nanti. hehehhe... terima kasih ya.

9 comments:

khairyn said...

apasal dinyahkan oleh pihak atasan? Takut kena ISA ke atau nak jadi NST plak? ahahahaha

oh am being sarkas-tic

Pa'chik said...

khair,
stopa ali tu... salah seorang ahli lembaga hitam lam harakah... ekekek...

bagi aku... ekor takkan melibas kalau kepala tak izin...

akhir-akhir ni... mereka masih lagi nak bercomolot ngan amnu...

nak menang negeri pun tak berapa kuat... nak bercita-cita jadik tpm pulak.. hahaha... kalau nak kata amnu main tipu.. hahaha.. ingat amnu jujur sangat ke kat tempat lain...

mereka patut buat macam datuk asri, atau nakhaei...
keluar je pas... bawak seramai mana pengikut mereka yang ada... join amnu... kalau dah gatal sangat nak jadik menteri...

Zuraini said...

Salam …

Tuan Guru tak kan bersuara kiranya sesuatu isu tu tak berat. Tengah tunggu gak ni apa komen Haji Hadi & apa pula yang akan dijawab oleh MA.

Alhamdulilah dah selamat sampai. Sebagaimana biasa, bila part order mengorder ni, bahagian saya selalunya banyak, sampaikan kekawan kata mengalahkan orang anak sepuluh. Macam serunding tu, masuk jer Ramadhan mmg ada dijual kat ofis oleh seorang staf (orang Kelantan & hanya utk bulan Ramadhan, Syawal & Zulhijah), dan saya akan beli utk dikongsi-kongsi rasa bersama abang2 & keluarga mereka, emak2 saudara & cousin yang rapat, juga utk majlis kat surau wpun saya tak datang :-) . Pada saya asal boleh makan (halal), semuanya sedap. Harap ianya memenuhi citarasa Izinni sekeluarga. Suka bila tengok bebudak makan, mereka jujur. Macam tu jugalah dengan biskut raya, tah apa2 yang saya order… pada hal orang kalau datang mesti masak makanan lain. Beli tu utk dimakan dalam bulan puasa pada waktu berbuka & sahur (utk sayalah dah biasa dari kecik), bila raya saya dah siap packing utk diberikan pada abang2. Kira seminggu raya, biskut raya tu pun dah habis.

Dah pernah masuk ke laman ni : http://dajjal.wordpress.com

Ada yang berlaku waktu rehat tadi (citernya kat komen Khairyn)

BaYu SenJa said...

bagi saya, bukan pelan 16 september yang anwar canang itu yang akan meruntuhkan Bn, tetapi anai-anai dalam BN sendiri yang akan pastikan ajal kerajaan antik itu dalam masa terdekat ini..

Tektikal itu jangan dipersoalkan.. Nama pun politik, Dato Mustapha rasanya cukup matang.. tetapi mujur segera ditegur Mursyid kita..
Harap dato pa kembali bersuara mewakili pas. Tak perlu gopoh menjadi pengamal, penganalisis atau pengkritik politik yang membelakangi keputusan muktamar..

p/s: bayu baru saja publishkan bacaan bayu terhadap isu peralihan kuasa ini..

Selamat menemui Lailatul Qadar :)

zizie ali said...

statement cikgu pa menjadikan plot cerita bertambah menarik. bertambah suspens.

13may said...

nak amik artikel untuk simpanan peribadi :)

Zuraini said...

Salam...

harga minyak semakin turun, bila lagi ye RomPak Lah @ sekarang ni Najib nak turunkan harga minyak di M'sia ni? Sekarang ni sapa yang beri subsidi, negara kepada rakyat @ rakyat kepada negara? Ada ke boleh sebut, bila harga minyak turun maknanya keuntungan Petronas pun turun. Habis tu masa harga minyak naik, kenapa cakap bebanan kerajaan meningkat, tak sebut pun yang keuntungan Petronas turun meningkat. Memang dasar putar belit!!! Cuma bila harga minyak diturunkan, adakah harga barangan akan turut turun juga @ masih kekal cam tu gak atas alasan tu stok lama, tapi kalau naik, malam ni umum esok harga dah naik, tak der lak timbul stok lama stok baru...

izinni said...

salam semua,

tak terdaya nak membalas setiap satu komen dek kerana keterbatasan waktu.

apa pun ... kita tunggu dan lihat sahaja perkembangan isu ni. macam2 yang jadi sekarang .. bersiap sedia untuk terima apa saja yang disuakan kat kita.

Anonymous said...

I apologise, but, in my opinion, you commit an error. I suggest it to discuss. Write to me in PM, we will talk.