Monday, August 17, 2009

Aku suka ...

Malam tadi dalam aku menekan-nekan punat televisyen mencari rancangan yang boleh menjamu halwa mata dan telinga, aku terhenti di saluran tv2. Aku ingatkan ada konsert sebab begitu ramai sekali umat di auditorium berkenaan. Aku katakan 'umat' sebab sememangnya penuh dengan umat-umat sesaudara seIslam aku. Aku pun tunggu sebentar. Ohh .. rupanya rancangan kenyataan atau program realiti hasil 'pemikiran' hero 'pujaan ramai' si Rosyam Nor. Rupanya malam tadi sudah rancangan akhi dan ditayangkan secara langsung dari Negeri Sembilan.



Aku bukan mahu beri sebarang ulasan tentang apa yang terjadi di atas pentas. Ramai yang sudah sedia maklum akan aksi-aksi abang-adik serta adik-kakak peserta-peserta rancangan berkenaan. Bila aku katakan aksi abang-adik dan adik-kakak itu, fahamilah ya. Belum lagi aksi-aksi mak dan anak, bapak dan anak. Sungguh rapat dan erat sekali. Mereka sesungguhnya mempertahankan kepentingan mengeratkan tali silaturrahim.



Ohh ... aku tidak sepatutnya melarat ke perkara itu. Sedangkan lain yang ingin aku katakan.



Begini. Auditorium itu sememangnya penuh semalam. Sampai ada yang terpaksa duduk di tangga. Begitu hebat penangan rancangan mencari pelakon-pelakon 'berbakat' ini. Dari jumlah penonton itu, jika tidak separuh, suku daripada mereka adalah KANAK-KANAK. Ya. Kanak-kanak.



Rancangan yang tamat sekitar jam 11 malam mungkin. Esoknya, iaitu hari ini adalah hari persekolahan. Ada kanak-kanak ini selain dari sama-sama bersorak macam orang hilang akal, ada juga yang duduk seolah terpinga-pinga dan ada juga yang menguap tanda suka atau mengantuk. Ada juga sedap memeluk tubuh sambil mengusap-gusap lengan. Sejuk agaknya. Maklumlah penonton yang ramai pasti menyebabkan pihak pengurusan memaksimakan kekuatan penghawa dingin.



Ibu bapa dan saudara-mara yang membawa anak-anak ini ke rancangan ini tidak ada fikirankah? Balik lambat, tidur lambat, maka pasti akan bangun lambat. Dapat ibu bapa yang sporting, pasti anak-anak itu akan dibiarkan tidak ke sekolah kerana kepenatan.



Aku teringat kata-kata Menteri yang berkaitan dengan hal-ehwal kanak-kanak yang lantang menyatakan yang tindakan boleh diambil ke atas ibu bapa atau penjaga yang membawa anak-anak menyertai demonstrasi atas alasan membahayakan nyawa anak-anak berkenaan.



Sejauh mana seriusnya antara membawa anak-anak ke demonstrasi membantah kezaliman dan ketidakadilan pada hari Sabtu, dengan membawa anak-anak ke konsert-konsert hiburan melalaikan sambil melihat lelaki wanita bukan muhrin berpegangan dan berpelukan sehingga jauh malam di hari Ahad?



Tidak rasional pemikiran aku? Konsert tidak membahayakan dan tidak membawa kecederaan fizikal? Demonstrasi membawa bencana dan boleh menyebabkan kecederaan fizikal? Adakah kita mahu anak-anak kita lena dek hiburan dan menjahanamkan pemikiran kritis yang menentang ketidakadilan dan kezaliman?



Lepas ini marilah kita sama-sama bawa anak-anak ke konsert dan persembahan hiburan yang ada demi kesejahteraan negara.



Ohh ya. Pak Perdana Menteri nasihatkan rakyat jelata supaya elakkan berhimpun di tempat-tempat awam untuk mengelakkan penularan selsema babi. Baguskan? Sungguh prihatin. Aku suka.



Tiba-tiba, perhimpunan menyambut kemerdekaan akan tetap dilangsungkan tapi bukan di Dataran Merdeka atau tempat-tempat terbuka yang lain. Prihatin sungguh mereka kerana memindahkan lokasi sambutan di tempat TERTUTUP iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil.



Eh! Bukankah perhimpunan itu satu perhimpunan awam juga?



Oh! Tidak mengapa rasanya. Perhimpunan ini untuk menunjukkan rasa kecintaan kepada negara. Lagipun nasihat Pak Perdana Menteri itu dikeluarkan selepas perhimpunan 1 Ogos lalu. Jadi saranan itu tidak sesuai untuk sambutan 31 Ogos nanti. Ibu bapa yang ada anak-anak terlibat dalam persembahan sempena sambutan nanti pun tidak perlu khuatir akan penularan selsema babi sebab semuanya DEMI NEGARA yang TERCINTA.



MALAYSIA BOLEH!



Opsss ... itu tagline Pak Perdana Menteri yang lama. Sekarang Pak Perdana Menteri baru.



RAKYAT DIUTAMAKAN, PENCAPAIAN DIDAHULUKAN. Molek sangatlah tagline yang ini. Aku suka juga.

3 comments:

Pa'chik said...

ko ni langsung tak paham... padahal dah jadik wartawan lama... kikiki.. :P

program maksiat ni memang la tak de masalah... pengunjung-pengunjung tu nanti buleh la derang jadikkan teman kala kebosanan kat sanaaaaa.... :P

achik said...

saya lagi suka tagline pak lah..

cemerlang, gemilang, terbilang.. ekeke.. ;p

izinni said...

pa'chik,
alaaa .. tak bagi chance langsung la ko ni. apa salahnya buat2 tak faham macam reporter rtm tu. ekekekke

masalahnya yang jadi mangsa budak2 setahun jagung.

achik,
tambah dua lagi .. temberang, sekarang hidup senang. hehehehe