Monday, May 14, 2007

Zinnirah

"Aku lewat la ..."
"Haaa pregnant la tu."
"Aduhhh ... macam tak ready je. Tapi kan ... takde kot. False alarm je ni."
"Pergi la check. Kalau tak nak gi klinik, self check je. Kat pharmacy kan banyak jual pregnancy kit. Kalau ko MC esok, maknanya ko pregnant ... hahahahhahaaha"

Begitulah lebih dan kurang perbualan antara aku dan khairyn 8 tahun dulu. Dan seperti yang ditelah, aku MC keesokan harinya. Begitulah kuat penangan permainan kuasa psikologi. Terus aku pening dan muntah-muntah ditahap yang amat parah sehari selepas pengesahan yang aku mengandungkan anak kedua.

Memang pada mulanya aku kaget. Tidak bersedia. Maklumlah anak sulung, Muhammad Irfan baru menjangkau usia 15 bulan. Tidak puas bermanja. Namun akhirnya aku redha akan rezeki yang Allah beri. Anugerah buat kami sekeluarga.

Perjalanan selama mengandungkan anak kedua ini, sama ketika aku membawa Muhammad Irfan. Amat memeritkan. Loya, pening, mual, pitam. Semua sama. Aku diletakkan "permanent" sebagai salah satu kelengkapan pejabat. Melayan karenah manusia yang setiap hari mahu mengadu itu dan ini. Begitu menekankan. Adakalanya aku "ya" dan "tidak" sahaja setiap leteran yang aku dengar.

MC usah dicerita. Dalam seminggu, pasti ada satu atau dua hari yang aku terpaksa ambil. Seminggu pun ada.

Sepanjang mengandungkan zuriat ini, aku yakin cahaya mata yang kukandung adalah perempuan. Hati kuat mengatakan perempuan walaupun ada yang beria-ia mengatakan lelaki. Kata mereka, perut aku perut orang yang mengandung anak lelaki. Aku tak tahu bagaiaman mereka membuat telahan. Memang aku tidak mahu tahu apa jantinanya tiap kali membuat imbasan di klinik. Tapi naluri ibu aku tahu pasti perempuan.

Sepanjang hari badan ini sakit. Pinggang seakan direntap. Tulang belakang seakan tidak membenarkan aku duduk. Mahu sahaja aku baring seharian tapi si kecil Irfan mahukan belaian ibu. Aku perlu uruskan dia. Perlu masak. Perlu melangsaikan kerja-kerja rumah. Aku tahu aku semakin hampir melahirkan. Jadi aku mahu pastikan rumah tidak berkecah. Aku mahu rumah bersih. Aku tidak mahu pulang dari hospital dalam keadaan rumah tidak terurus.

Malam itu aku tidak lalu makan. Aku tidurkan Irfan awal dari biasa. Aku mahu berehat. Tapi itu cuma kemahuan minda. Lain pula kemahuan badan. Badan ini tidak betah baring atau duduk lama. Akhirnya aku mundar-mandir didalam rumah berbilik dua yang tidak sebesar mana. Suami masih belum pulang. Sememangnya aku sudah terbiasa dengan kelewatannya.

Jam menunjukkan 2 pagi apabila "tarikan" belakang pinggang semakin kuat. Aku abaikan sebab memang sepanjang kehamilan aku sentiasa berdepan dengan pelbagai kesakitan.

Jam hampir 3 pagi. Perut memulas. Asyik ke tandas membuang air kecil. Perut masih memulas. Dalam hati, "Kenapalah nak tercirit masa ni!?"

Hampir 4 pagi, aku kejutkan suami. "Jom ke hospital. Air ketuban dah pecah."

Dengan penuh ketenangan yang menjengkelkan bagi aku yang sedang menahan sakit, suamiku bangun, bersiap dan mencapai beg yang sudah berbulan siap dengan segala keperluan ketika di hospital.

"Mak, angah nak singgah ni hantar Irfan."

Perjalanan kerumah mak di Alam Megah dari rumahku di USJ, yang selalunya mengambil masa 20 minit menjadi 10 minit. Aku menangis menahan sakit sambil memangku Irfan di ribaan. Irfan yang antara sedar dengan tidak. Irfan yang bakal menyambut ulangtahun ke-2 dalam masa 2 hari sahaja lagi.

"Napa ibu angish?"
"Sakit. Adik dah nak keluar. Irfan duduk baik-baik dengan nenek. Nanti ibu balik."
"Ibu nak pegi mana?"
"Ibu nak pegi hospital."
"ooooo OK."

Setiba dirumah mak, mak dan ayah sudah menunggu diluar rumah. Belum sempat aku turun untuk kutitip putera sulungku kepada mereka, mak sudah dulu sampai ke muka pintu van.

"Cepat. Nanti beranak pulak dalam van."

Memang suamiku teramatlah tenang. Tidak ada secalit pun kerisauan atau kelibat panik dimuka. Buat aku cengeng.

"CEPATLAAA .. tak tahan sakit ni."

"Ya. Kejap lagi sampai. Istigfar banyak-banyak, sayang," ujarnya memujuk. Tangan kirinya ku genggam sekuat hati menahan sakit.

Perjalanan ke Hospital Universiti amat lancar. Tidak banyak kenderaan. Jam 5.45 aku sudah sampai di Wad Bersalin. Terus disuruh menukar pakaian. Aku disorong ke bilik bersalin. Suamiku menemani hingga ke pintu.

"Maafkan semua kesalahan saya. Halalkan makan dan minum. Redhakan saya."
"K-rol redha. Ingat Allah ya." Senyuman lembut sekali.

Kemudian dibaringkan di atas katil didalam bilik sejuk. Sakit sudah mencanak-canak. Suamiku tiada. Memang tidak dibenarkan masuk menemani tapi aku tidak kisah itu semua. Aku memang tidak mahu dia ada. Entah kenapa .. aku lebih senang menghadapinya sendiri. Aku tahu jika suamiku ada, aku akan menangis tidak henti .. meminta belas.

6.15 - Contraction semakin parah. Aku panjatkan doa pada yang ESA. Istigfar dan pelbagai zikir tidak lepas dari bibir yang semakin kering.

6.30 - "PUSH!" Memang perkataan itu yang aku nantikan. Dengan sekuat kudrat yang Allah berikan, aku "PUSH". "PUSH" yang pertama tidak cukup kuat. Kali yang kedua, suara cahaya mata ku memecah keheningan subuh. "PUSH" yang ketiga, keseluruhan tubuhnya disambut jururawat yang bertugas. Langit pun memercikkan gerimis seakan berkongsi syukur akan anugerah Ilahi yang tidak ternilai.

Alhamdulillah.
6.37 pagi, 14 Mei 2000. Dia lahir ke dunia.

Zinnirah.

Srikandi yang mewarnai hidup ibu dan ayah,
Kau kini sudah menginjak ke usia 7 tahun,
Tawa dan rajukmu menjadi asam garam hidup ibu,
Ibu sayang kamu, Ibu cinta kamu,
Kurangkan rajukmu wahai, anak,
Kerana rajuk tidak akan membawa kau jauh di dunia.
Kentalkan semangatmu, wahai, sayang,
Kerana semangat itu akan mengiringmu menghadapi dunia.
Kuatkan imanmu, wahai, puteri,
Kerana iman itu yang akan menjadi tiang dan bekal untuk menjadi srikandi yang gagah namun lembut fitrahnya.
Besarlah kamu wahai cahaya mata
Menjadi wanita yang berjiwa besar
Menjadi wanita yang solehah
InsyaAllah.







kegemaran puteri sulung ibu.


Nota kecik-kenot: 2 hari dia merajuk dengan ibu sebab apa yang dihajati tidak daya ibu penuhi. Sabarlah sayang ...

18 comments:

Iman Mawaddah said...

Saya terkenang kisah mak yang terpaksa berpuasa dan dimasukkan air seharian ketika bersalinkan saya. Ngeri kalau difikir2kan. Memang patutlah Allah mengangkat martabat seorang wanita yang bergelar ibu.

Selamat Hari Lahir buat Zinnirah. Semoga menjadi anak mulia yang berpaksikan agama.

Pa'chik said...

Selamat Hari Lahir buat Zinnirah. Semoga menjadi anak mulia yang berpaksikan agama.

Azhar Ahmad said...

Owhhhh... inilah adik yangh paling kecil... zinnirah suka asam pedas yerrr

MakcikMuda said...

assalamualaikum..

selamat hari lahir,zinnirah..

doakan supaye zinnirah panjang umo,dimurahkan rezeki,bjaye dlm pelajaran,bjaye dlm hidup,teguh iman,sentiase mjadi permata hati ibunya n ayahnya..:)

kak izinni,nak tgk gambo zinnirah...:)

izinni said...

iman,
satu hari nanti kamu akan merasa. amat berbaloi segala kesakitan. betul kata orang, lepas melahirkan dan ketika menatap wajah anak itu, segala kesakitan selama 9 bulan terus lenyap. tak rasa apa dah pun. :)

pa'chik,
mesin kamu brand apa ek? begitu efektif sekali membuat kerja. hehehe
sudah disampaikan pada zinnirah. senyum lebar dia :)

izinni said...

azhar,
zinnirah bukan paling kecil. dia anak no.2. yang paling kecil nisaa' az-zahraa :)
dia suka asam pedas, nasi lemak, masak lemak dan macam2 lagi. hehehhe

ryn,
waalaikumsalam. dah selesai paper?
gambar zinnirah baru je ditampal tu. sorry takde gambar lebih besar sebab semua memori ada dalam cpu yang masih dalam ICU. :)

Anonymous said...

hmm... arwah afifah pulak lahir pada 12 Mei tapi 1999. saya akan tulis sedikit pasal arwah pada 24 Mei nanti, tarikh dia pulang.

Anonymous said...

petang tadi masa balik keje,wife aku cakap nak tambah sorang lagi.kecian kat anak aku yg sorang tu.takde kawan.main sorang2 je.kali ni,aku akan lebih bersedia.pengalaman lalu akan ku jadikan iktibar.

Iman Mawaddah said...

Kak reporter,
Akak tau tak kat mana nak register ayat-ayat kita supaya tak boleh di salin tampal free2 je? hahaha

Anonymous said...

oh... selamat hari lahir Zinnirah, terlewat satu hari... tak apa ya? moga jadi anak yang tidak menghampakan ibu dan ayah.

Salam.

zwitterion said...

selamat hari lahir Zinnirah..

Pa'chik said...

eleh.. iman kedekut... haha..

Iman Mawaddah said...

bukan kedekut laa..tengok macam ada market..dari kasi free baik charge..hahaha business..business

Kemat said...

sELAMAT hARI lAHIR bUAT zINNIRAH. jUGA sELAMAT hARI iBU iBU Untuk Kamu.

izinni said...

najmudin, zwit, kemat
ucap selamat kalian akan disampaikan pada empunya diri yang kuat merajuk tu .. hehehhe

iman, pa'chik
seakan merpati dua sejoli bergurau senda ... hahahahhaha

achik said...

selamat hari lahir zinnirah..

LadyTiz said...

ibu sy cerita time sy, doktor kate, due date sepatutnya lgi 20 hari.

tp sy degil kuar awal.

sy juga anak nombor 2 seperti zinnirah...
oh, selamat hari jadi, si number dua!!!

akirasuri said...

hepi belated besday untuk zinnirah :)

moga jadi anak solehah :)