Friday, May 16, 2008

Mentari Merah Nakba-Shatila

Wajah itu kusam tapi masih mampu tersenyum tatkala melihat sekumpulan anak-anak bermain di lorong sempit itu. Wajah itu jelas sekali telah dimamah usia. Wajah itu tersirat dengan pelbagai cerita suka dan begitu banyak duka. Garis-garis kedut di wajah seakan bercerita akan setiap detik kehidupannya. Sudah hampir 32 tahun pemilik wajah tua itu tinggal di penempatan daif itu. Tiada yang istimewa dan gah pada setiap rumah-rumah di sepanjang lorong sempit itu. Ada ratusan lorong-lorong kecil di daerah itu. Ribuan rumah biarpun seperti kotak yang sempit berbumbungkan atap zink, ianya syurga dunia bagi orang-orang sepertinya. Syurga Shatila. Syurga pelarian. Syurga bagi anak-anak itu.

Sana. Ya. Itu namanya. Biarpun wajah yang makin dijamah usia dan ketika itu nampak kelam dan kusam, masih terpampang iras kejelitaan ketika mudanya. Sinar mata itu. Sinar yang tidak dapat dinafikan mampu menusuk hati sesiapa sahaja yang memandang. Sinar yang garang. Sinar semangat yang tidak pernah luntur walaupun sesaat. Semangat mahukan keadilan. Semangat mahukan semula haknya. Haknya yang sudah dirampas dengan begitu kejam. Tanpa belas. Tanpa kasihan.

Sana Muhammad. Helaian rambut putih yang terkeluar dari hijab hitam yang dipakainya dihela perlahan. Dia masih lagi duduk diluar rumah kotak itu. Dia masih lagi duduk di atas bangku kayu yang ditukang sendiri anak lelakinya, Hussin. Hussin, satu-satunya zuriatnya. Anak yang dikandungnya ketika terpaksa meninggalkan kampung halaman. Anak yang lahir dibumi pelarian ini. Anak yang membesar di rumah kotak di lorong sempit ini. Anak yang hampir mati kerana tidak cukup makan. Anak yang sentiasa sakit kerana kurangnya zat dan ubat. Anak yang tidak dapat bersekolah dengan sempurna dek segala kekurangan. Anak yang sentiasa berlari ketakutan lalu menyorok dibawah satu-satunya katil di dalam satu-satunya bilik di rumah kotak keluarga itu, tiap kali mendengar bunyi letupan atau bedilan.

Ya. Dalam segala kepayahan itu, Hussin hidup. Dengan kuasa dan izin Allah, Hussin kini sudah pun mencapai usia 34 tahun. Hussin yang masih tidak berumahtangga. Hussin yang kini menyara mereka berdua selepas suami Sana meninggalkan alam fana ini 5 tahun lalu. Tidak banyak yang Hussin terima tapi memadailah dapat menjamah sedikit makanan sekali sehari. Rezeki Allah tidak pernah putus untuk mereka biarpun hanya sekeping roti yang dikongsi dua.

Sana tidak merungut. Dia malah bersyukur. Bersyukur kerana diberi peluang oleh Yang Maha Esa untuk terus hidup. Peluang untuk melihat anak-anak yang sedang seronok bermain itu. Seolah-olah tiada yang menghantui mereka. Seolah-olah kepayahan tiada dalam kamus hidup mereka. Gelak tawa mereka mengubat perit dihati yang tidak pernah pun sembuh.
Sana masih ingat. Ingatan pada peristiwa itu tidak pernah dan tidak akan padam sehingga Allah mencabut nyawanya.

Hari Ahad. Tengahari. Sana yang sedang sarat 8 bulan sedang berada di dapur. Biarpun hari itu suaminya tidak pulang makan tengahari seperti lazimnya kerana perjumpaan dengan pelanggan di pejabat, Sana menjamah beberapa butir tamar bagi mengisi perutnya. Makin sarat, makin kurang selera makannya.

Gelas yang berisi air suam dicapai dari atas meja. Dengan sekelip mata, gelas itu terjatuh dari genggaman. MasyaAllah … dentuman itu begitu kuat. Memang sudah lazim dentuman demi dentuman terjadi sejak kebelakangan ini.

“Yahudi jahanam betul-betul mahu mengusir umat Palestin dari tanahair tercinta ini. Ya! Allah berikan kami kekuatan. Ya! Allah selamatkan Palestin. Ya! Rahim selamatkan umatMu. Ya Allah! selamatkan suamiku. ” Doa tidak lepas dari bibirnya. Sana berjalan ke arah tingkap. Dari jauh kepulan demi kepulan asap kelabu di kaki langit Jaffa. Di salah satu bangunan di kota itu, suami Sana, Ahmed sedang berada. Hatinya berdebar-debar.

Sana mencapai talifon untuk menghubungi pejabat suaminya tapi talian sekali lagi telah mati. Pasti letupan itu telah mematikan semua talian komunikasi, detik hati Sana. Sana masuk ke bilik. Dicapainya radio kecil terletak dimeja kecil ditepi katil. Siaran radio Jewish Clandestine sedang ke udara. Seperti biasa sejak beberapa bulan yang lalu, siaran yang dalam bahasa Arab itu seolah-olah mengingatkan atau lebih tepat memberi amaran agar penduduk Jaffa segera meninggalkan kota itu.

“Tinggalkan Jaffa sebelum rumah-rumah kamu diletupkan. Tinggalkan Jaffa kerana apabila ianya berlaku, hanya sekumpulan gagak-gagak hitam yang akan meratap kemusnahan kediaman kamu.” Begitu angkuh.

Sana duduk di tepi katil. Tangannya mengurut-ngurut perut yang semakin membesar. Setelah 5 tahun menanti, anugerah inilah yang ditunggu-tunggu Sana dan Ahmed. Doa dan harapan mereka hanya pada bayi ini. Bayi yang bakal menyambung keturunan keluarga mereka. Suara amaran penuh angkuh dari radio masih lagi terngiang-ngiang di telinga Sana. Terus ingatan Sana terhambur pada apa yang berlaku beberapa minggu lalu.

250 saudaranya dibunuh kejam. Saudara Palestinnya dirobek badan mereka, ditikam, ditembak. Mayat mereka bergelimpangan. Ada yang dibuang ke dalam parit. Dicampak ke dalam perigi desa. Ada yang sudah tidak berkepala. Anak-anak kecil. Wanita muda. Wanita tua. Wanita hamil. Tiada pilih kasih. Tiada berkecuali. Semuanya dikorbankan demi cita-cita besar Yahudi. Kampung kecil Deir Yassin dipinggir bandar Jerusalem musnah. Penduduknya dicabut nyawa mereka seolah-olah tiada harga nyawa mereka itu. Tanpa perikemanusian, mahupun perikebinatangan. Dan salah seorang dari mereka, adik perempuan Sana yang sedang hamil 3 bulan. Rania telah diperkosa dan dibunuh. Perutnya robek. Mayatnya dibiar terperosok dibawah dapur. Anak perempuan Rania, Wadha berusia 3 tahun. Sama nasib anak kecil itu. Setelah ditembak, mayatnya dihumban ke dalam parit depan rumahnya. Suami Rania, Abdullah sehingga hari ini masih lagi hilang.

Lamunan Sana tersentak tatkala mendengar ketukan kuat di pintu unitnya yang berbilik 3 di tingkat 2, apartment bertingkat 5, dipinggir bandar Jaffa itu. Air mata yang mengalir laju ketika mengenang kejadian yang menimpa satu-satunya keluarganya yang tinggal, disapu menggunakan hujung tangan baju. Ahh ... pasti Ahmed, detik hati Sana sambil memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi. Berlari dia ke arah pintu.


bersambung….

7 comments:

Pa'chik said...

cepat la sambung weh...

khairyn said...

adeh kisah nakba dan shatila ni memang sedih sangat. Memang sepatutnya dikenang sampai bila-bila. Tapi tak ramai yang tahu. Sayang

achik said...

huhuhu..

izinni said...

pa'chik,
mu nihhhh nak cepat sokmo ...

khairyn,
sebenarnya ramai yang tahu tapi buat2 tak tau sebab masalah palestine bukan masalah mereka ...
yang jadi hari2 sekarang kat palestine pun depa tutup mata ..

achik,
:(

kingbinjai said...

saya tunggu

izinni said...

king,
sedang dalam proses ... ambil masa sikit sebab fakta perlu dirujuk juga :)

MakcikMuda said...

cepat2,kak has!
xsabar :p